Makalah Azyumardi Azra

Pers dan Wartawan Indonesia merasakan duka yang sangat mendalam atas berpulangnya H Azyumardi Azra, Ketua Dewan Pers, menghadap sang Khalik. Berikut Makalah Azyumardi Azra yang belum sempat disajikan di Seminar Internatioanal Malaysia:

Gerakan Islam dan Optimismen Masa Depan, Mengartikulasi Potensi Wilayah Nusantara ( 1)
Oleh: Prof Dr Azyumardi Azra

1. Sebenarnya sudah sekian lama kita membincangkan perihal Gerakan Islam di wilayah Nusantara ini, untuk menjadi model kebangkitan umat Islam global.

2. Sewaktu ABIM mula ditubuhkan dekad 1970-an, wacana dengan tema ini telah dimulakan.

3. Pertukaran pandangan dan perbincangan disemarakkan bersama-sama organisasi Islam dan gerakan di Indonesia seperti Muhammadiyah dan Nahdlatul Ulama, termasuklah juga organisasi pelajar dan mahasiswa di sana, juga tokoh-tokoh dari MASYUMI.

4. Topik ini – potensi wilayah Nusantara – untuk muncul sebagai juara dan jurubicara umat, bukan hanya di rantau kita tetapi juga di dunia global. Persoalannya, bilakah saatnya umat Islam di Nusantara akan menerajui kepemimpinan seluruh umat global.

5. Dalam sejarah zaman silam, telah muncul bangsa-bangsa besar yang merupakan cabang-cabang umat Islam yang telah muncul sebagai pembina peradaban Islam yang begitu hebat di masa lampau.

6. Kita sedia maklum bahawa takdir sejarah Islam dimulai dengan kepemimpinan Rasulullah SAW yang lahir dalam kalangan bangsa Arab, sehingga lebih seabad setengah bangsa Arab menjadi ‘tulang belakang’ kepada tubuh badan umat.

7. Justru, ‘tulang belakang’ pertama umat adalah dalam kalangan bangsa Arab. Setelah itu, pusat kekuasaan umat berpindah kepada bangsa Parsi bagi fasa kedua ketamadunan umat.

- Iklan -

8. Seterusnya, bangsa Turki kekuasaan Uthmaniyah dan bangsa India pemerintahan Mughal pula memainkan peranan dalam melanjutkan pertumbuhan dan pengembangan tamadun Islam.

9. Ke semua bangsa ini adalah antara cabang-cabang besar umat Islam yang besar. Begitu juga dengan kita, umat Melayu-Islam di rantau Nusantara, adalah juga sebahagian cabang umat Islam yang besar. Umat Islam di Nusantara merupakan populasi umat Islam terbesar dunia pada hari ini.

10. Persoalannya, apakah kita sudah memainkan peranan sebagai ‘tulang belakang’ umat global ini ataupun belum?

Baca Juga:  Akan Miliki Peta 1:5000, Indonesia Tak Tergantung Google Map

11. Potensi umat Islam Nusantara yang besar ini perlu dikenalpasti melalui penyelidikan dan dibangunkan keupayaannya, kemudiannya dimunculkan sebagai realiti.

12. Secara umumnya, boleh dikatakan faktor pertama potensi keupayaan umat Islam Nusantara adalah faktor demografi (kependudukan). Wilayah ini menempatkan populasi umat islam terbesar dunia, dan kedudukan geografinya juga sangat strategik sejak sekian lama.

13. Faktor yang kedua adalah sejarah dan warisan kedatangan Islam ke rantau ini yang hadir secara berperingkat dengan interaksi dan dialog antara peradaban, bukan dengan peperangan dan penaklukan. Ini merupakan suatu keunikan rantau ini.

14. Islam berkembang di rantau ini melalui interaksi antara tamadun-tamadun besar yang saling bertembung waktu tersebut.

15. Justeru, sebenarnya kita mewarisi suatu ciri unik, dengan citra peradaban berteraskan budaya dialog. Ini adalah suatu kelebihan yang mesti digembeleng. Maka, wajarlah kita mengemukakan perspektif dan gagasan kita tentang apa yang ingin kita bangunkan tentang ketamadunan di rantau kita ini.

16. Ini berkaitan dengan kedudukan Islam sebagai agama dan juga sebagai tamadun, kita mempunyai khazanah ilmu dan khazanah hikmah yang kaya, serta pengalaman ketamadunan yang kaya.

17. Justru, Gerakan Islam di rantau ini wajar mengambil manfaat kesemua khazanah umat yang terbangun sekian lama ini untuk menjayakan konsep umat Islam Nusantara sebagai ‘tulang belakang’ umat Islam global.

18. Ini bererti kita jangan hanya melihat kepada rantau kita, tetapi juga kepada cabang-cabang yang lain. Kesemua ini hanya akan berjaya sekiranya kita mengutamakan ilmu pengetahuan.

19. Potensi rantau ini sebagai kuasa ekonomi, potensi sebagai kuasa ilmu, bidang sains dan teknologi, kesemua ini boleh dicapai.

20. Dalam zaman moden ini, komuniti dunia berbicara tentang kesatuan dan komuniti serantau seperti European Union dan sebagainya. Namun, masyarakat rantau Asia Tenggara dalam era lampau, sudah sekian lama memang sudah mencapai tahap “common market” dan satu kesatuan tanpa sempadan. Kita sudah terlebih dahulu dalam rantau kita ini mempunyai kadar mobiliti yang tinggi, dan rangkaian interaksi yang bebas dan dinamika.

21. Namun, kemudiannya ketamadunan rantau ini terencat dan terjejas dengan kedatangan kuasa-kuasa penjajah Barat ke wilayah kita. Mereka bukan hanya datang untuk meraih dan merampas harta kekayaan kita, malah semasa bangsa penjajah ini juga berperang di gelanggang kita.

Baca Juga:  Masa Depan Pengujian Obat: Teknologi di Antara Harapan dan Tantangan

22. Mereka juga membina sempadan artifisial yang memisah-misahkan kesatuan rantau ini, menyekat mobiliti, mengehadkan interaksi dan melunturkan identiti. Adalah diharapkan agar sempadan artifisial yang terbina ini tidak terus menjejaskan dan menghambat interaksi antara umat Islam dalam rantau Nusantara ini.

23. Oleh yang demikian, ada beberapa saranan yang diajukan dalam membangunkan konsep umat Islam Nusantara sebagai ‘tulang belakang’ umat Islam global.

24. Gerakan Islam serantau harus diperkasakan. Harus lebih banyak programprogram bersama, melihat isu-isu global dari perspektif yang disepakati bersama.

25. Dalam konteks global dunia Islam, banyak komuniti Muslim dunia yang melihat dan menaruh harapan besar kepada kita di rantau ini, kerana kita secara relatifnya tidak banyak mengalami konflik seperti di benua Afrika ataupun Asia Barat. Justeru, terpulang kepada pimpinan Gerakan Islam untuk menjayakan agenda ketamadunan ini.

26. Cukup penting untuk Gerakan Islam muncul dalam bentuk Gerakan intelektual Islam yang kuat. Kita mengharapkan ramai lagi pemikir-pemikir rantau kita lebih menggiatkan kegiatan keilmuan dan seterusnya menggerakkan elemen kebaktian.

27. Kita juga sebenarnya wajar memanfaatkan wadah ASEAN dan OIC sekiranya ingin berperanan sebagai ‘tulang belakang’ umat.

28. Almarhum Dr Surin Pitsuwan (mantan Setiasuha Agung ASEAN) seringkali menekankan dalam perbincangan kami tentang ASEAN dan masa depan Asia Tenggara, beliau menyatakan bahawa populasi umat Islam di Asia Tenggara ini sebenarnya mencapai lebih 50 peratus, maka perlunya umat berperanan secara aktif. Justeru, Gerakan Islam di rantau ini mestilah memanfaatkan platform ini.

29. Begitu juga dengan OIC. Walaupun hari ini entiti ini dilihat malap, justeru Gerakan Islam mestilah memanfaatkan kerjasama dengan tokoh ilmuwan dan gerakan dari negara-negara OIC untuk pembinaan rangkaian dan perencanaan strategi kebangunan umat.

30. InshaAllah, kita mohon kepada Allah SWT untuk memberikan peluang kepada umat Islam di rantau ini untuk muncul sebagai tulang belakang peneraju kepemimpinan umat global. (ana)

Bagikan:

BERITA TERKAIT

REKOMENDASI

BERITA TERBARU